Berita Harian Online - January 2008
IPOH: Seorang lagi mangsa kemalangan bas ekspres di Kilometer 383.5 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan dekat Behrang, petang kelmarin, meninggal dunia menjadikan angka korban kepada tiga.
Pang Poon Eng, 20, yang berasal dari Batu Caves, Selangor, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Ipoh, awal pagi semalam.
Mayat mendiang Pang dituntut oleh ahli keluarga petang semalam untuk disemadikan di Selangor.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Deputi Superintendan Adzhar Othman, berkata polis masih menyiasat punca kemalangan.
Mengenai dakwaan saksi mengatakan pemandu bas itu, Ruslin Isa, 42, dikatakan sedang menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan memandu laju dalam hujan renyai sebelum kemalangan, beliau enggan membuat sebarang ulasan.
Adzhar juga enggan mengesahkan dakwaan Ruslin turut memilik dua waran tangkap kerana belum menjelaskan sembilan saman trafik kerana kesalahan memandu melebihi had laju.
“Polis masih menyiasat punca kemalangan dan kita akan maklumkan kemudian selepas semua aspek siasatan disiapkan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam kemalangan jam 6 petang itu, tiga penumpang terbunuh dan tujuh cedera parah selepas bas Ekspres Konsortium yang mereka naiki melanggar pembahagi jalan dan terbalik.
Selain Pang, mangsa yang terbunuh di tempat kejadian ialah Mohd Zailani Mustafa, 23, dari Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Lee Nian Ning, 21, dari Taman Bukit Gelugor, Pulau Pinang.
Bas berkenaan membawa 39 penumpang termasuk pemandu dan pemandu gantian dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
Wednesday, January 30, 2008
Seorang lagi penumpang bas ekspres meninggal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment