myMetro - Januari 2008
Laporan dan foto RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
Abang mangsa korban nahas bas ekspres anggap adik bersikap pelik sebelum kemalangan
GEORGETOWN: “Arwah sempat berpesan supaya membeli kain kafan jika terjadi apa-apa padanya, seolah-olah memberi petunjuk dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata abang Mohd Zailani Mustapha, 23, yang terkorban dalam kemalangan bas ekpres di kilometer 383.5 Lebuhraya Utara-Selatan di Behrang, petang kelmarin.
Mohd Rosli, 29, berkata pesanan arwah adiknya yang disampaikan kepada melalui seorang rakan arwah menimbulkan tanda tanya mengapa persoalan demikian diucapkan, seolah-olah tahu ajalnya sudah tiba.
Selain itu, katanya, sejak seminggu lalu sikap Mohd Zailani berubah dengan ketara apabila sering memberontak dan marah tanpa mengira tempat.
Katanya, lebih memeranjatkan apabila arwah yang sebelum ini tidak pernah menghubungi bapa, Mustapha Mohamed yang ada di Johor, berbuat demikian untuk bertanya khabar.
“Arwah anak keenam daripada tujuh beradik. Dia rajin dan manja dengan ayah serta abang sulung, Mohd Zaidi dan abang kelima, Mohd Zairuddin serta pernah tinggal di Sungai Nibong.
“Arwah sebenarnya tinggal di Batu Uban bersama saya sejak tiga tahun lalu dan bekerja sebagai kontraktor paip serta menggunakan alamat rumah Mohd Zairudin sebagai alamat surat-menyurat,” katanya ketika ditemui di rumah Mohd Zairudin di Lebuh Nipah 3, Sungai Nibong, di sini, semalam.
Mohd Rosli berkata, sebelum kemalangan berlaku, arwah memintanya membeli tiket bas ekpres pada jam 2 petang selepas enggan menaiki bas pada jam 1 petang dan 1.30 petang kelmarin.
“Disebabkan itu, saya membeli tiket bas untuk perjalanan jam 2 petang. Saya terkilan kerana tidak sempat memohon maaf daripada arwah. Selepas menghantarnya ke terminal bas Sungai Nibong, saya terus pulang ke rumah untuk menyambung kerja,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zairudin, 26, berkata malam kelmarin dia tiada di rumah kerana keluar mengambil anak bersama isteri sebelum rakannya memberitahu adiknya terkorban dalam kemalangan jalan raya di Behrang.
Dalam kemalangan kira-kira jam 6 petang kelmarin, selain Mohd Zailani, seorang lagi yang terbunuh dalam kejadian itu ialah Lee Nian Ning, 21, dari Taman Bukit Gelugor, di sini.
Kemalangan berlaku apabila bas yang membawa 37 penumpang serta dua pemandu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dikatakan dipandu laju sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan lalu terbalik.
Akibat pelanggaran itu, bas berkenaan memasuki laluan arah selatan sebelum dirempuh kereta Honda Odyssey dari arah belakang.
Wednesday, January 30, 2008
Pesan beli kain kafan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment