Wednesday, January 30, 2008

Dua maut, 9 parah bas terbalik

Utusan Malaysia Online - 26 Januari 2008

Oleh: AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

BEHRANG 25 Jan. - Dua terbunuh manakala 27 lagi cedera termasuk sembilan daripadanya parah dalam satu kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas dua tingkat dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 383 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini hari ini.

Mangsa yang terbunuh ialah penumpang bas, Mohd. Zailani Mustafa, 23, dan Lee Nian Ning, 21. Kedua-duanya yang berasal dari Pulau Pinang mati di tempat kejadian.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang sewaktu hujan lebat dengan bas berkenaan dipercayai dipandu laju hingga gagal dikawal dan terbabas.

Difahamkan kebanyakan mangsa yang cedera parah berada di tingkat atas bas tersebut.

Ketua Polis Daerah Slim River, Supritendan Md. Ali Mohd. Nayan berkata, bas berkenaan dikatakan terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kenderaan MPV yang dinaiki tiga orang.

Selepas rempuhan itu, katanya, bas yang datang dari arah Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dengan membawa 21 penumpang termasuk pemandunya terus terseret dan terbalik.

"Semua mangsa terlibat berjaya dikeluarkan dari bas dan MPV dan dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Md. Ali berkata, kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap hanya selesai kira-kira pukul 9.15 malam.

Seorang penumpang MPV itu, Husnah Ismail, ketika menceritakan detik-detik cemas itu berkata, beliau nampak bas tersebut dipandu laju dari arah hadapan.

Katanya, semasa melalui jalan itu, secara tiba-tiba bas tersebut terbabas dan terbalik lalu berpusing ke laluan mereka.

"Rakan saya yang memandu MPV kemudian cuba brek dan mengelak tetapi gagal lalu merempuh bumbung bas itu," katanya yang menerima beberapa jahitan di kepalanya.

Penumpang bas, Nasha Hairi, 40, pula memberitahu, dia melihat semua penumpang bas dihempap antara satu sama lain.

Katanya, akibat daripada itu, semuanya menjerit ketakutan dan ada antaranya yang tercampak keluar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Slim River, Deputi Supritendan Adzhar Othman memberitahu, pemandu bas tersebut mempunyai tiga waran tangkap dan 19 saman termasuk 12 kesalahan memandu melebihi had laju.

No comments: